Kitaran Solar
Jika anda mencerap Matahari pada hari ini, pastinya Matahari kelihatan kosong seperti bola ping-pong, tiada apa-apa aktiviti seperti tompok Matahari (Sunspot). Berdasarkan kajian, bermula 1 Januari 2019 sehingga hari ini bertarikh 29 Ogos 2019, hanya 75 hari sahaja hari yang ada tompok Matahari dan selebihnya sebanyak 166 hari tiada tompok Matahari.
DEFINISI
Fenomena ini dipanggil sebagai kitaran solar, kitaran solar ialah kitaran medan magnet Matahari bergerak hampir setiap 11 tahun.Kita maklum bahawa Matahari kita adalah sebuah bola gas yang panas. Gas yang dicas bergerak dan menghasilkan medan magnet yang kuat. Medan magnet Matahari ini bergerak menerusi satu kitaran, yang dipanggil kitaran solar.Setiap 11 tahun atau lebih, medan magnet Matahari akan terbalik sepenuhnya. Dengan bahasa mudah, kutub utara dan kutub selatan Matahari bertukar tempat, kemudian ia mengambil masa 11 tahun untuk kedua kutub itu kembali lagi.
KESAN KITARAN SOLAR
Kitaran solar mempengaruhi aktiviti di permukaan Matahari, seperti tompok Matahari; yang disebabkan oleh medan magnet Matahari. Apabila medan magnet berubah, begitu juga jumlah aktiviti di permukaan Matahari.Kesan ini kita panggil maksimum solar dan minimum solar, ia merujuk kepada tempoh bilangan maksimum dan minimum tompok Matahari.Salah satu cara untuk mengesan kitaran solar adalah dengan mengira bilangan bintik matahari. Permulaan kitaran solar adalah minimum solar. Dari masa ke masa, bilangan tompok matahari akan meningkat.Di tengah-tengah kitaran solar adalah maksimum solar, atau apabila Matahari mempunyai tompok matahari yang paling banyak. Apabila kitaran berakhir, ia akan kembali kepada minimum solar dan kemudian kitaran baru bermula.Menurut saintis, ia dijangka bermula kitaran solar pada akhir tahun 2019 kemudian mencapai maksimum solar pada 2023-2026 dan kembali ke arah minimum solar pada tahun 2030.