Astronomi dan Pencemaran Cahaya

Astronomi dan Pencemaran Cahaya

Ahmad Ibrahim bin Azam (Pelajar Latihan Industri, USIM 2021)

 

Cahaya merupakan sesuatu yang membolehkan kita untuk melihat. Cahaya yang diperlukan oleh seseorang itu hanyalah sekadar cukup. Namun jika berlebihan, maka berlakulah pencemaran cahaya. Di Malaysia, saban tahun pencemaran cahaya semakin meningkat. Malah ia juga berlaku di seluruh negara yang membangun dengan pesat. Sikap individu dan masyarakat yang tidak prihatin serta tidak cakna dengan keburukan pencemaran cahaya menyebabkan pelbagai kemudaratan yang telah berlaku kepada alam tumbuhan, haiwan bahkan kepada manusia itu sendiri. Cahaya terdiri dariada dua bentuk. Pertama sekali ialah cahaya semula jadi. Cahaya semula jadi ialah cahaya yang ada dengan sendiri secara fitrah tanpa memerlukan kudrat manusia untuk menghasilkannya, seperti contoh cahaya matahari, bulan bintang dan sebagainya. Cahaya yang terhasil daripada proses alami ini ialah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT sebagai pencipta langit dan bumi. Manakala cahaya buatan manusia dipanggil sebagai cahaya tiruan.

Cahaya Matahari (Kredit: Penulis)

Cahaya Lampu Jalan Raya (Kredit: Penulis)

Semenjak penciptaan lampu pijar oleh Thomas Edison pada tahun 1879, pencemaran cahaya telah mula berlaku di muka bumi. Revolusi perindustrian telah menyebabkan teknologi baru yang digunapakai oleh manusia semakin canggih mengikut peredaran zaman. Namun kesan yang ditanggung oleh bumi ialah, alam semulajadi menjadi semakin teruk. Tidak dapat dinafikan, terdapat juga kebaikan daripada penciptaan lampu artificial dalam kehidupan manusia. Hal ini kerana cahaya itu terdiri daripada beberapa jenis:

1. Cahaya yang berguna (Useful light)
2. Kawasan yang perlu disinari (Area to be lit)
3. Pantulan Cahaya ke atas (Upward reflected light)
4. Cahaya menghala ke atas (Direct upward light)
5. Cahaya yang terpantul semula kerana awan tebal (Light reflected back due to heavy clouds)
6. Zon Silau (Glare zone)
7. Silau Langsung (Direct glare)
8. Pencerobohan Cahaya (Light trespass)

Berdasarkan jenis cahaya yang disenaraikan oleh International Dark-Sky Association, kita boleh menyimpulkan bahawa kegunaan lampu artificial itu perlu namun minimum. Jika berlebihan ia akan memudaratkan perkara-perkara lain.

Sumber: International Dark-sky Association

Seterusnya, setelah kita mengenal jenis cahaya, kita perlulah memahami jenis-jenis pencemaran cahaya yang terdapat di bumi ini.

No Jenis Contoh
1 Silau (Glare)

Lampu limpah, high beam kereta.
2 Pijaran Langit (Sky Glow)

Dikawasan bandar/ kilang cahayanya dipancarkan keatas lalu diserakkan oleh zarah zarah dan juga awan awan dilangit.
3 Pencerobohan Cahaya (Light Trespass)

Rumah-rumah kedai / Lampu rumah jiran yang salah angle
4 Selerakan Cahaya (Light Clutter)

Lampu jalan (penyumpang kepada silau/ pijaran langit)
5 Pencahayaan Berlebihan (Over Illumintion)

Bangunan tinggi di bandar, papan iklan 24 jam
6 Buruj Satelit ( Satellite Constellation)

Lebih kurang  2 ribu satelit di angkasa yang menyebabkan dalam gambar di langit akan jadi ralat
7 Peluru Berpandu / Roket

Pelbagai pencemaran bukan setakat pencemaran cahaya boleh berlaku

Kesan pencemaran cahaya terhadap keseluruhan alam amat membimbangkan. Tahap kesihatan manusia berkurangan kerana kesan sampingan yang berlaku daripada pencemaran cahaya. Antara masalah kesihatan yang boleh berlaku ialah, kanser, obesiti, insomnia dan juga kitaran hari-hari (circadian) manusia akan menjadi tidak stabil. Hal ini kerana secara fitrahnya badan manusia mempunyai masa yang selari dengan waktu matahari terbit dan tenggelam.

Dalam masa yang sama, alam haiwan juga turut mengalami kemudaratan seperti contoh anak penyu yang baru lahir di pantai akan mengikuti cahaya bulan pada waktu malam untuk membawanya ke arah laut, namun akibat daripada manipulasi cahaya yang terdapat di sekitar pantai akan menyebabkan kebanyakan anak-anak penyu tidak akan berjaya untuk sampai ke laut. Keseimbangan ekosistem haiwan ini juga boleh terganggu kerana habitat mereka juga bergantung kepada cahaya matahari dan bulan. Kitaran mangsa dan pemangsa akan terjejas dek kerana kehadiran cahaya tiruan disekitar mereka.

Dari sudut astronomi, pencemaran cahaya memberi impak yang sangat tinggi. Pencemaran cahaya yang banyak akan menyumbang kepada kehilangan keindahan langit malam serta mengganggu kajian astronomi. Masalah pencemaran cahaya yang tidak terkawal menyebabkan aktiviti cerapan menggunakan teleskop hanya terhad kepada objek-objek langit yang terang seperti planet, bulan dan bintang-bintang sahaja. Objek lain seperti nebula, galaksi dan kelompok bintang tidak dapat dilihat dan dirakam kerana keadaan langit yang terang dek kerana pencemaran cahaya. Kini tidak hairanlah di kawasan bandar-bandar sukar untuk melihat bintang-bintang yang banyak menghiasi langit malam. Malah aktiviti pencerapan menggunakan mata kasar seperti cerapan hujan meteor sukar dilakukan di kawasan bandar kerana keadaan langit yang sangat terang. Aktiviti astrofotografi juga memerlukan langit yang gelap dan tidak dicemari cahaya. Teknik astrofotografi yang memerlukan tempoh pendedahan yang lama (long exposure) sukar dilakukan sekiranya langit dan kawasan persekitaran dicemari cahaya. Ini bakal menghasilkan gambar yang terlampau terang sehingga tenggelam keindahan objek angkasa yang ingin dirakam. Tidak mustahil sekiranya pencemaran cahaya ini tidak dikawal, generasi akan datang tidak dapat melihat keindahan langit malam yang dipenuhi bintang seperti yang kita dapat lihat sekarang.

Astrofoto Bima Sakti yang diambil di Kompleks Baitul Hilal. Anak panah merah menunjukkan pencemaran cahaya yang terhasil dari lampu sekitar kompleks.

Astrofoto Bima Sakti yang diambil di Hutan Lipur Pasir Panjang. Struktur Bima Sakti yang lebih jelas dan lebih banyak bintang dirakam kerana kurang pencemaran cahaya.

Setiap individu, masyarakat, pihak berkuasa mahupun kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pencemaran cahaya di negara kita mampu dibendung sebelum menjadi semakin parah. Langit gelap merupakan suatu warisan zaman berzaman yang kita warisi daripada nenek moyang kita. Ia merupakan tanggungjawab kita bersama sesama manusia. Jangan biarkan ia hilang ditelan cahaya tiruan pada waktu malam. Pelbagai usaha mampu dilakukan antaranya, pihak kerajaan boleh membuat undang-undang khas bagi mengelakkan pencemaran cahaya berlebihan pada waktu malam, selain itu juga kerajaan boleh mewartakan rizab langit malam sebagai langkah pembendungan yang lebih holistik. Namun, kesedaran dalam diri sendiri merupakan kunci utama kepada kejayaan kawalan pencemaran langit pada waktu malam dalam kalangan setiap individu.

Rujukan.
1. Prof Madya Dr Naftahun Md Shariff. 2021. “Ke Mana Bintang Beribu?”.
2. DW Planet A. 2021. “Why You Should Care About Light Pollution”.
3. National Geographic. 2019. “Light Pollution 101”.
4. National Geographic. 2016. “Where Are the Stars? See How Light Pollution Affects Night Skies”.
5. International Dark-Sky Association. 2013. “Light Pollution. 2013”.