Hujan Meteor Perseid

Hujan Meteor Perseid

Hujan meteor atau dipanggil juga sebagai juraian meteor adalah satu fenomena yang berlaku apabila bilangan meteor dapat dilihat dengan banyak dalam satu masa tertentu. Hujan meteor terjadi apabila orbit Bumi menghampiri laluan sesebuah komet. Serpihan dari ekor komet yang berada di aliran orbit ini akan memasuki atmosfera Bumi dan seakan datang dari satu titik asal di langit yang kebiasaannya berada di sesebuah buruj. Maka hujan meteor dinamakan bersempena buruj tersebut. Terdapat pelbagai jenis hujan meteor yang berlaku setiap tahun.

 

Komet Swift-Tuttle
(Sumber: European Southern Observatory, ESA)

Perseids adalah hujan meteor yang berasal dari komet Swift-Tuttle, yang melengkapkan satu satu putaran orbit mengelilingi Matahari setiap 133 tahun. Titik asal yang dikenali sebagai “radiant” bagi Perseids adalah buruj Perseus. Hujan meteor Perseids aktif bermula dari 17 Julai sehingga 24 Ogos setiap tahun dan kemuncaknya adalah diantara 11-13 Ogos. Sewaktu kemuncak, meteor ini dapat dilihat dengan bilangan 50-75 meteor per jam dengan kelajuan sekitar 60 km/j. Cerapan dan jumlah bilangan meteor yang bakal dilihat adalah bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor pencemaran cahaya.

Arah hujan meteor Perseid dari titik radian
(Sumber: Earthsky)

Bagi tahun 2020, kemuncak hujan meteor Perseid adalah pada 13 Ogos bermula pada jam 12.42 malam, dimana pada ketika itu, titik radian mula dapat dilihat dari arah ufuk timur. Ia akan kekal aktif sehingga menjelang fajar pada jam 6.51 pagi. Titik radian berada pada kedudukan paling tinggi di langit selepas fajar, sekitar jam 7 pagi. Oleh itu, waktu yang sesuai untuk menyaksikan hujan meteor Perseids adalah sebelum fajar, dimana ketika itu masih tiada gangguan cahaya dari matahari yang bakal terbit.

Walau bagaimanapun, terdapat gangguan cahaya bulan yang baru sahaja melepasi fasa sepertiga terakhirnya pada malam tersebut, dimana bulan ketika itu berada dalam 47.13 peratus kecerahan. Ini merendahkan sedikit prospek untuk melihat hujan meteor tersebut. Bulan pada malam itu terbit lewat jam 12.56 malam dan hanya akan menghampiri altitud 78’ sebelah ufuk utara sebelum hilang dari pandangan apabila fajar tiba. Oleh itu, anda boleh merancang waktu anda ingin melihat hujan meteor. Berdasarkan pengalaman kebanyakan ahli astronomi, waktu yang paling terbaik adalah pada jam 3.00 – 5.30 pagi. Lebih menarik berdekatan buruj Perseus, anda juga bakal melihat bintang Capella and Aldebaran.

Keduduakan radiant hujan meteor Perseids dan 2 buah bintang pada 12 Ogos 2020.
(Sumber: Stellarium)

Bagi yang ingin mencerap hujan meteor ini, selamat mencuba dan pastikan anda berada di kawasan yang jauh dari pencemaran cahaya untuk menikmati hujan meteor yang lebih jelas.

Sumber: International Meteor Organization, timeanddate.com dan In The Sky.

Oleh : Norsyazwani Asmi
Pelajar Praktikal UM 2020