Komet NEOWISE C/2020 F3

Nurin Masturina (Pelajar Latihan Industri, UM 2020)
Pada tanggal 27 Mac 2020, sebuah komet yang bernama Komet C/2020 F3 Neowise telah ditemui oleh teleskop angkasa Neowise. Komet ini bergerak di dalam orbit parabolik yang mengelilingi matahari. Berdasarkan kiraan, ia menunjukkan bahawa komet ini boleh dilihat dan kedudukannya paling hampir dengan matahari pada 3 Julai 2020 dengan jarak hanya 43 juta kilometer atau dengan lebih tepat kiraannya sebanyak 43,383,441.17 kilometer dari matahari. Komet C/2020 F3 Neowise akan mula muncul di langit ketika waktu senja selepas waktu solat Maghrib bermula 17 Julai ini. Setelah berminggu – minggu kita disajikan dengan gambar –gambar Komet Neowise yang sangat cantik dari negara-negara di hemisfera utara, kali ini sudah tiba giliran kita berpeluang untuk melihat komet yang begitu terang ini melungsuri langit senja kita. Sebelum ini, Komet Neowise berada di langit pada waktu solat Subuh. Kedudukan negara kita, Malaysia berhampiran dengan garisan Khatulistiwa merumitkan usaha kami untuk melihat komet ini dengan begitu jelas. Kali ini selaras dengan kiraan falak, laluan komet ini jauh berbeza dan lebih sesuai untuk dilihat di Malaysia dan juga di negara Asia Tenggara yang lain.
Pada 17 Julai 2020, Komet NEOWISE akan berada dalam kedudukan rendah di horizon atau ufuk barat terletaknya di sebelah kanan dari kedudukan terbenam Matahari. Dari kedudukan arah mata angin ia terletak di Barat Laut dan pada buruj Ursa Major. Ketinggiannya ialah sekitar 4.5 degree di atas ufuk. Tetapi perkara ini bergantung kepada kecerahannya juga. Komet Neowise tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Komet ini boleh dirakam dengan kamera DSLR dengan syarat – tiada pencemaran cahaya di ufuk barat serta ketiadaan awan. Dinasihatkan tidak menggunakan lensa fish-eye untuk mengambil gambar kerana ia akan menyebabkan komet ini nampak begitu kecil. Antara lokasi terbaik untuk mencerapnya adalah di pantai barat mengadap laut di mana tempat saya mengambil gambar – gambar komet bersejarah ini iaitu di Balai Cerap Telok Kemang, Port Dickson, Malaysia. Jikalau ingin melihat dengan menggunakan mata kasar ia agak mencabar. Peralatan seperti Binokular atau Monokular mungkin akan membantu anda mengesan kedudukan komet tersebut. Pada 18 Julai 2020, komet Neowise berada di sekitar 7 darjah dari ufuk. Jadi perkara ini akan memudahkan kita melihatnya lebih lama selepas matahari terbenam dan juga berpeluang mencarinya dalam keadaan langit yang semakin gelap. Arah komet ini masih sama dengan kedudukan iaitu di sebelah Barat Laut. Pada 19 Julai 2020, komet tersebut berada tinggi 10 degree dan magnitude 3.39 di atas ufuk barat. Kedudukanya semakin menjauhi matahari, membolehkan kita mencerapnya dengan masa yang agak lewat sedikit.
Gambar 1: Komet Neowise pada 19 Julai 2020.
Pada 20 Julai 2020, kedudukan komet ini semakin tinggi maka tidak perlu kita terkejar-kejar mencarinya selepas Maghrib. Mudah bukan?
Gambar 2: Komet Neowise pada 20 Julai 2020.
Pada 21 Julai 2020, ia berada di kedudukan tinggi sebanyak 16 degree dengan magnitude 3.78 di atas ufuk barat. Pada ketika ini, jikalau langit masih cantik atau dengan bahasa lebih mudah tidak berawan serta jelas untuk melihatnya, buruj Biduk boleh dilihat di sebelah kanan manakala buruj Leo di sebelah kirinya.
Gambar 3: Komet Neowise pada 21 Julai 2020.
Pada tanggal 25 Julai sehingga 31 Julai 2020, Komet NEOWISE secara amnya akan semakin tinggi dan akan membelok beranjak ke kiri sedikit demi sedikit. Ketinggian komet Neowise seperti yang tertera dalam Gambar 4.
Gambar 4: Ketinggian komet Neowise (Sumber: Falakonline)
Bagi kita di Malaysia, ini adalah satu – satunya peluang terbaik untuk merakam sebuah komet yang terang sejak Komet Hale-Bopp pada tahun 1997 yang lalu. Lebih – lebih lagi, komet ini akan kembali lagi pada 6800 tahun akan datang. Jangan disia – siakan peluang hebat ini. SELAMAT MENCUBA!