Pencetus Revolusi Falak Malaysia
Amirul Syazani (Pelajar Latihan Industri USIM,2017)
“Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu melainkan beberapa orang laki-laki yang kami beri wahyu kepada mereka maka tanyakanlah olehmu kepda orang-orang yang berilmu jika kamu tiada mengetahui”
(Surah Anbiya’ : 7)
Sumbangan para sarjana astronomi islam lampau telah dilestarikan oleh beberapa orang tokoh Malaysia. Antara tokoh yang menghasilkan karya pada kemuncak pencapaian sains melayu – islam sebelum penjajahan mutlak eropah sehingga kemerdekaan Tanah Melayu ialah Sheikh Jamil Jambek, Haji Nur bin Ibrahim, Tuan Haji Umar bin Ismail Nurudin, Sheikh Abdul Rahman Tok Gudang Al-fatahani, bin hj. Mohd Taib Haji Muhammad Saleh bin Harun kemboja, Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Tuan Haji Mohd. Khair dan Sheikh Abdullah Fahim.
Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin yang lebih dikenali sebagai Sheikh Tahir Jalaludin. Dilahirkan pada 9 disember 1869 di Sumatra pada ketika dunia sedang menghadapi penjajahan barat. Sheikh Tahir Jalaluddin merupakan seorang daripada ulama yang berjasa mengembangkan astronomi islam di dunia melayu (Indonesia-malaysia). Antara hasil karya beliau ialah “Pati Kiraan Pada Menentukan Waktu Yang Lima” dan “Natijah al-umm”. Oleh kerana sumbangannya yang terlalu besar dalam pengembangan kajian astronomi islam, Pusat Falak Syeikh Tahir telah didirikan di balik pulau Pantai Aceh, Pulau Pinang bagi mengenang jasa beliau.
Sheikh Abdullah fahim digelar tokoh falak di nusantara ini. Dilahirkan di kampong Sha’ab Ali, Makkatul Mukarramah pada tahun 1869. Bapanya Syeikh Ibrahim bin Tahir berasal dari Kubur Panjang, Kedah dan merantau ke Makkah dengan menjadi guru al-quran di Masjidil Haram. Beliau telah berguru dengan 42 orang ulama di Makkah dan Madinah juga dikenali sebagai “penuntut kepada ulama dua tanah haram”. Walau bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai mahaguru ilmu falaknya di Makkah iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar Al-Jawi. Ilmu yang dipelajari adalah penentuan arah kiblat(miqat), waktu solat dan anak bulan(hilal). Berdasarkan peralatan rubu’ mujayab yang ditemui disimpan di Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma’arif Wataniah. Dapat difahami bahawa ilmu falak yang pernah dipelajarinya di Makkah adalah sama sahaja dengan apa yang dipelajarinya oleh Syeikh Tahir Jalaluddin di Mesir dan juga ulama-ulama tanah air yang lain.
Dato’ Haji Mohd Nor bin Ibrahim (1905-1987) merupakan anak kepada Haji Ibrahim Yusuf iaitu mufti kerajaan Kelantan pada 1928-1941. Beliau juga telah dilantik menjadi mufti pada 1 mei 1968 sehingga ke akhir hayatnya. Beliau telah menyumbang kepada bidang falak melalui buku yang berjudul “Pilihan Mustika Pada Menerangkan Kiblat dan Ketika”. Beliau juga masyhur dalam bidang qiraat, falak, tafsir serta usuluddin.
Kesimpulannya, Malaysia adalah negara yang mempunyai ramai tokoh-tokoh yang mahir dalam pelbagai bidang khusunya ilmu falak namun ilmu ini telah hampir terkubur apabila orang ramai tidak peka mengenainya. Oleh itu, cadangan untuk menjadikan ilmu falak ini dijadikan subjek tambahan atau kurikulum di peringkat sekolah rendah atau menengah dapat dilaksanakan supaya ilmu falak ini sentiasa berterusan kepada generasi yang akan datang dan tidak terpupus begitu sahaja. Pewaris pemangkin bangsa sambil menerokai angkasa serta agungkan pencipta yang maha esa.