Tokoh Astronomi: Al Khawarizmi
Amira Norsham (Pelajar Latihan Industri, UiTM 2015)
Latar Belakang
Nama sebenar Al-Khawarizmi ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi. Beliau turut dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff. Di Barat, Al-Khawarizmi dikenali sebagai al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-karismi, al-Goritmi atau al-Gorism.Beliau dilahirkan di Bukhara dan wafat di antara tahun 220 dan 230 M. Terdapat setengah sumber mengatakan bahawa Al-Khawarizmi hidup pada sekitar awal pertengahan abad ke Sembilan masihi. Pada tahun 780 – 850 M merupakan zaman kegemilangan Al-Khawarizmi.
Pendidikan
Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas meliputi bidang logik, falsafah, geometri, arithmetic,kimia, muzik,kejuruteraan dan sejarah Islam.Di Eropah, beliau terkenal sebagai guru algebra dan mencipta penggunaan Secans dan Tangens dalam penyelidikan ilmu trigonometri dan astronomi. Pada usia mudanya, Al- Khawarizmi bekerja di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun di Bayt al-Hikmah di Baghdad.
Beliau suka bekerja di dalam balai cerap untuk mendalami ilmu matematik dan astronomi serta pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India kepada dunia Islam.
Al-Khawarizmi merupakan tokoh pertama yang memperkenalkan ilmu algebra dan ilmu hisab. Di dalam bidang matematik, banyak ilmu yang dipelajari beliau sehingga dapat menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu terkenal dan masih digunakan pada zaman sekarang.
Ketokohan Al Khawarizmi
Ketokohan al-Khawarizmi dapat dilihat daripada dua bidang iaitu matematik dan astronomi. Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi memperkenalkan ilmu algebra dan hisab. Pada zaman tamadun Islam, beliau menghasilkan banyak karya yang masyhur. Antaranya ialah Maftih al-Ulum. Selain itu, beliau turut menyumbang dalam sistem nombor yang telah digunakan pada zaman awal tamadun Islam.
Di dalam setiap karya yang dihasilkan beliau, banyak kaedah yang telah diperkenalkannya. Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segi tiga sama, mengira luas segi tiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri. Beliau turut memperkenalkan masalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor.
Di samping itu, al-Khawarizmi terkenal pada zaman tamadun Islam dahulu kerana penglibatannya dalam bidang astronomi. Astronomi ialah ilmu falak iaitu pengetahuan mengenai bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, pemikiran dan tafsiran berkaitan dengan bintang.
Seawal kurun ketiga, al-Khawarizmi telah menghasilkan dua buah kitab yang salah satu daripadanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan member pengaruh besar kepada Muslim dan orang Sepanyol Kristian.
Penggunaan matematik dalam astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad kerana kemunduran pengetahuan matematik yang lebih kepada penggunaan geometri dan aritmetik sahaja. Al-Khawarizmi dianggap oleh orang Islam sebagai sarjana matematik yang masyhur dan turut diperakui oleh sarjana Barat. G. Sarton menyatakan bahawa pencapaian tertinggi telah diperoleh oleh orang-orang Timur terutamanya Al-Khawarizmi. Selain itu, Wiedmann mengatakan bahawa al-Khawarizmi mempunyai personality yang teguh dan merupakan seorang yang bijaksana. Secara tidak langsung membuktikan Al-Khawarizmi telah member sumbangan yang besar dalam bidang matematik dan astronomi.
Sumbangan
Antara hasil karya al-Khawarizmi:
- Sistem Nombor: Beliau mengembangkan sistem nombor yang dikenali sebagai Sistem Pernomboran Arab dan India yang digunakan di seluruh dunia. Beliau juga merupakan orang pertama yang menyertakan angka sifar sebagai salah satu digit dalam sistem pernomboran. Al-Khawarizmi turut memperkenalkan sistem titik perpuluhan yang wujud pada hari ini.
- Al-Kitab al-Muhtasar fi hisab al- Jabrwa al-Muqaabalah (Buku keterangan ringkas tentang pengiraan menggunakan Al-Jabrdan Al-Muqaabalah (penyempurnaan dan penyeimbangan)) : Kitab yang berkaitan dengan algebra yang menjadi rujukan terkenal dan pemula kepada perkembangan ilmu algebra. Pendekatan secara logic dan sistematik dalam menyelesaikan masalah quadratic dan linear member acuan baru dalam disiplin ilmu algebra.
- Zij al-Sindhind (jadual astronomi Sind dan Hind): Salah satu zij yang dihasilkan oleh al-Khawarizmi berdasarkan kaedah astronomi India yang dikaji beliau.
- Kitab surat al-Ard (buku mengenai rupa muka bumi): Ia adalah rujukan dan versi pembetulan kertas kerja Ptolemy tentang Geografi.