Kaedah Melihat Anak Bulan Bagi Menentukan Awal Bulan Islam.

Kaedah Melihat Anak Bulan Bagi Menentukan Awal Bulan Islam.

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilal) kelihatan ketika Matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, samaada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila Bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30.

Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya dihadapan pemimpin. Secara umumnya penetuan awal bulan hijri – terutamanya bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah adalah berdasarkan pergerakan Bulan dan Bumi mengelilingi Matahari.Dengan pencerapan begini mendorong Muslim berkecimpung dalam bidang astronomi atau dikenali di Malaysia sebagai ilmu falak, yang meletakkan Islam terkehadapan dalam sains tersebut buat beberapa kurun.

Dalil-Dalil Penetapan Menentukan Awal Bulan Hijri

Dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadith banyak menyebutkan mengenai menentukan awal bulan hijri dengan melihat anak Bulan atau hillal, antaranya :

Surah al-Baqarah ayat 185

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

(…Barangsiapa di antara kamu melihat anak Bulan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa Bulan itu…)

Surah al-Baqarah ayat 189

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوْاْ الْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَى وَأْتُواْ الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

(Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”)

Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ

 “Jika kamu melihatnya maka berpuasalah dan jika kamu melihatnya lagi maka berbukalah. Apabila kalian terhalang oleh awan maka perkirakanlah jumlahnya (jumlah hari disempurnakan) “.

(HR. Bukhari no. 1767)

Dari Ibnu Umar r.a:

  ” تَرَاءَى النَّاسُ الْهِلَالَ فَأَخْبَرْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنِّي رَأَيْتُهُ فَصَامَهُ وَأَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ “

“Orang ramai telah melihat hilal, kemudian aku sampaikan kepada Rasulullah saw, ‘Sesungguhnya aku melihatnya (hilal)’. Kemudian beliau berpuasa dan memerintahkan orang ramai untuk berpuasa”.

Pendapat Ulama’ Dari Kitab Muktabar

Kitab Irsyad Ahlil Millah Ila Isbatil Ahillah

  • Dan telah sepakat ulama kita semua, bahawa merukyah hilal Ramadhan itu fardu kifayah.

Kitab Kashifah As-Saja

  • Tetapi wajib ke atas ahli hisab mengamalkan ilmu hisabnya. Demikian orang yang membenarkannya.

Kitab Sharqawi(pendapat Imam al-Qushayri)

  • Bila hisab menunjukkan hilal ada di atas ufuk yang biasanya dapat dilihat, kalau tidak ada penghalang seperti mendung, maka ini menunjukkan wajib berpuasa kerana ada sebab syarie.

Pelaksanaan Rukyah Dan Hisab Di Malaysia

Pada peringkat awal, amalan rukyah dilakukan oleh golongan cerdik pandai agama seperti alim ulama’, kadi dan mufti kerana mereka mempunyai pengetahuan yang luas tentang ilmu falak dan hokum syarak berkaitan. Usaha merukyah telah dijalankan secara rasmi sejak tahun 1934 oleh Syed Alwi Bin Tahir al-Hada dari Masjid Menara Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Kemudian pada tahun 1970, majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam ditubuhkan dan jawatankuasa rasmi telah dilantik untuk melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal di tiga tempat iaitu Telok Kemang, Johor Bahru dan Kampong Pulau Sayak.

Menurut kaedah rukyah dan hisab, anak bulan akan dirukyah pada petang 29 syaaban dan 29 Ramadhan. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan tetapi menurut hisab falak (iaitu kiraan falak) bahawa anak bulan ada dan boleh dilihat, maka hisab falak bolehdigunakan.

Dalam pertemuan tidak rasmi Menteri-Menteri Agama Negeri Brunei, Repulik Indonesia, Malaysia Dan Singapura (MABIMS) pada tahun 1989 satu ketetapan telah dibuat iaitu penyelarasan dalam penentuan awal Bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dikalangan negara anggota berdasarkan rukyah dan hisab. Ini merupakan satu tanda positif dalam usaha meningkatkan perpaduan umat islam di rantau ini. Salah satu perkara penting dalam pelaksanaan rukyah dan hisab ini ialah penggunaan criteria imkanur rukyah.Kriteria tersebut telah dipersetujui untuk diterima pakai oleh anggota MABIMS dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam kali ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan.

Dan mulai tahun 1995, pemakaian criteria ini telah diperluaskan bagi menentukan kesemua bulan-bulan hijriah.

Kriteria Imkanur Rukyah Dalam Amalan Rukyah Dan Hisab

Kaedah Hisab:

  • Menurut kaedah hisab hakiki, Bulan baru apabila ijtimak berlaku sebelum waktu Matahari terbenam tanpa mengambil kira samada anak Bulan wujud atau tidak.
  • Taqwim hijri yang menggunakan konsep ini dinamakan taqwim hijri hakiki.
  • Jika kewujudan anak Bulan selepas ijtimak dijadikan sebagai asas penentuan awal Bulan, taqwim ini dinamakan taqwim ijtimak wujudul hilal.

Kaedah Rukyah:

  • Kaedah rukyah ialah kaedah melihat anak Bulan ketika Matahari terbenam pada 29 hari bulan hijri dengan mata kasar atau teropong.
  • Ia hanya digunakan untuk tujuan penentuan awal Bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sahaja.

Kaedah Rukyah Dan Hisab:

  • Berdasarkan criteria imkanur rukyah iaitu penentuan masuknya awal Bulan baru apa bila kedudukan Matahari terbenam berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakkannya .
  • Kriteria yang telah dipersetujui itu ialah, ijtimak telah berlaku pada 29 syaaban, 29 Ramadhan atau 29 Zulkaedah sebelum Matahari terbenam dan hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:
    • Ketika Matahari terbenam, ketinggian anak Bulan di atas ufuk, tidak kurang dari 2° dan jarak lengkungannya (antara Bulan dan Matahari) tidak kurang dari 3°. Atau
    • Ketika Bulan terbenam, umur anak Bulan tidak kurang dari 8 jam (selepas ijtimak berlaku).

Gambar 1 :Cohtoh kedudukan hilal mengikut kriteria rukyah dan hisab

Gambar 1: Anak Bulan (Hilal) bulan Syawal 1437 Hijriah yang dirakam di Balai Cerap Telok Kemang.

Kesimpulannya, pelbagai usaha-usaha daripada pihak berwajib untuk mencapai kata sepakat untuk menentukan awal bulan hijri kerana bagi umat islam takwim hijri sangat penting, ia melibatkan ibadah-ibadah khusus seperti Puasa di bulan Ramadhan, Zakat dan Haji.

English English Malay Malay