HOAX : Berita Palsu ,Bikin Keliru!
Nurul Syakirah Binti Rahiman (Pelajar Latihan Industri, UM 2019)
Dunia kini terkehadapan dalam pembangunan teknologi baru dan penciptaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan lain-lain lagi. Teknologi ini amat sinonim dengan laman sosial yang semakin menjadi gaya hidup masyarakat sama ada daripada golongan muda mahupun tua. Kegunaan laman sosial ini secara asasnya dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada para pengguna kerana capaiannya yang meluas lebih-lebih lagi dengan kemudahan internet. Namun begitu, masyarakat kini kebanyakannya menyalahguna kemudahan tersebut hingga membawa mudarat dan memberi kesan negatif kepada orang ramai. Slogan dunia di hujung jari menjadikan masyarakat semakin hilang sensitiviti terhadap sesuatu perkara atau tindakan yang dilakukan. Sebagai contoh, butang perkongsian atau lebih dikenali sebagai “share”di kebanyakan laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter yang sepatutnya digunakan untuk berkongsi atau menyebarkan manfaat kepada orang ramai, seringkali dipandang ringan berkenaan kesahihan sesuatu perkara atau berita yang ingin dikongsikan. Kebanyakan pengguna sekadar membaca topik utama sesuatu berita yang hangat dibincangkan lalu dikongsikan kepada umum tanpa menyelidik kebenaran di sebalik berita tersebut. Maka, berleluasalah amalan penyebaran berita dan maklumat palsu yang turut dikenali sebagai “hoax”.
Memandangkan ilmu falak telah menjadi semakin popular, maka ianya turut mengundang kepada penyebaran maklumat palsu (hoax) berkaitan fenomena astronomi. Walaupun disertakan dengan matlamat yang baik, seperti untuk amar ma’ruf atau memberi peringatan kepada manusia mengenai hampirnya hari kiamat, tetapi pendustaan ini tidak dapat diterima di dalam Islam, apatah lagi apabila membabitkan penyalahgunaan ayat-ayat al-quran dan hadith di dalam penyebaran maklumat tersebut. Antara contoh penyebaran palsu itu adalah :
1.Bulan mengelilingi Kaabah
2.Bumi rata
3. Saiz planet Marikh sebesar Bulan
Penyebaran‘hoax’ ini berlaku apabila pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan berita-berita palsu tanpa merujuk kepada sumber yang lebih berautoriti atau ahli akademik yang berkemahiran dalam sesuatu hal tersebut. Keprihatinan yang tidak berasas kemudiannya membuatkan para pengguna laman sosial berkongsi maklumat dan berita palsu tersebut kepada para kenalan malah menggalakkan mereka agar menyebar luaskan lagi perkara tersebut kepada kenalan lain, lalu menjadikannya berterusan secara berantai.Sikap sebahagian masyarakat yang mudah melatah turut membuatkan keadaan lebih mengelirukan lebih-lebih lagi apabila berita tersebut dikaitkan dengan ayat-ayat al-quran mahupun hadith secara literal. Sekiranya penyebaran maklumat palsu ini tidak dibendung, pelbagai kesan buruk yang akan berlaku kepada masyarakat terutamanya kekeliruan dan kecelaruan. Malah, ianya mampu mendorong kepada perbalahan antara pihak-pihak tertentu mengikut kecenderungan masing-masing terhadap isu yang dibangkitkan.
Usaha pihak berwajib perlu ditingkatkan dalam menyuburkan disiplin ilmu yang kebiasannyamenjadi teras di dalam tamadun manusia sejak dahulu lagi. Antaranya adalah membuat penyelidikan yang lebih mendalam tentang sesuatu isu, mengadakan wacana ilmiah berkenaan disiplin ilmu dan mendidik masyarakat daripada pelbagai peringkat umur berkenaan kaedah berinteraksi dengan sesuatu berita yang tidak pasti. Sebagai contoh, badan-badan berautoriti seperti ANGKASA, Ahli Falak dan ahli akademik dalam bidang falak perlu membuat penyelidikan dan pencerahan terhadap ‘hoax’ yang dibangkitkan dengan menyatakan hubungkait antara isu tersebut dengan fakta atau penemuan sains terkini serta berlandaskan al-quran dan hadith. Dengan penyelidikandan pencerahan tersebut, orang awam, pendidik dan ahli akademik akan memperoleh rujukan setempat dan terarah sekiranya mereka memerlukan panduandalam isu-isu berkaitan dengan falak dan astronomi. Usaha ini turut mendorong masyarakat agar membuat proses verifikasiterhadap keabsahan dakwaan tersebut, seterusnya memastikan ketulenan agama tidakterjejas. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang menyuruh manusia menyelidik dan mengenal pasti kebenaran sesuatu perkara terlebih dahulu dalam apa jua keadaan sebelum mempercayainya.
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَن تُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ
(Surah al-Hujurat : 6)
Maksudnya :Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.