Awan
Nor Najwa Nazri (Pelajar Latihan Industri, USIM 2018)
Awan terdapat dalam pelbagai saiz dan bentuk, dan ia boleh terbentuk berhampiran tanah atau tinggi di atmosfera. Awan adalah kumpulan titisan air kecil atau kristal ais di langit dan dibentuk oleh proses yang berbeza. Ia boleh membuat pelbagai jenis curahan hujan bergantung pada suhu atmosfera.
Awan dikelaskan mengikut dua ciri utama, iaitu formasi (bentuk) dan paras tinggi. Bentuknya bergantung kepada cara udara yang bergerak di sekitar awan. Jika udara bergerak secara mendatar, awan yang terbentuk akan kelihatan seperti melebar dan tersebar. Bentuk awan akan kelihatan membesar ke atas jika udara bergerak secara menegak berhampiran awan. Warna awan kelihatan putih kerana kandungannya nipis, tetapi jika kandungannya padat, awan kelihatan berwarna hitam ataupun kelabu. Pada paras 2 kilometer keatas permukaan bumi, awan yang terbentuk dikelaskan sebagai awan rendah, manakala awan pertengahan berada setinggi 6 kilometer dan awan tinggi sehingga 18 kilometer.
Kumpulan Awan Rendah (dari permukaan-2 kilometer).
Terdapat tiga jenis awan yang tergolong dalam kumpulan awan rendah iaitu awan stratus, stratokumulus dan nimbostratus. Awan stratus merupakan awan padat yang berwarna kelabu dan boleh menutupi kebanyakan atau keseluruhan langit. Justeru itu awan jenis ini menggambarkan cuaca sederhana baik kerana langit menjadi cerah pada bahagian tertentu. Awan stratus boleh kelihatan seperti kabus yang tidak sampai ke tanah. Kabus cahaya atau gerimis kadang-kadang dikaitkan dengan awan stratus.
Awan stratokumulus bersifat rendah, kental, dan kelabu. Awan ini boleh kelihatan seperti sel-sel di bawah mikroskop. Ada kalanya ia bersatu dalam sebaris ataupun kelihatan tersebar. Secara amnya hujan yang terbentuk daripada awan ini hanyalah dalam bentuk hujan gerimis. Untuk mengenali awan stratokumulus ini, cuba arahkan tangan anda ke arah awan. Jika awan adalah kira-kira saiz genggaman tangan anda (seperti hendak menumbuk), maka ia adalah stratokumulus.
Awan nimbostratus adalah awan yang berwarna kelabu gelap dengan asas yang kasar. Awan nimbostratus dikaitkan dengan hujan yang berterusan atau salji. Kadangkala ia menutupi seluruh langit dan anda tidak dapat melihat penghujung awan tersebut.
Kumpulan Awan Pertengahan (permukaan 2 kilometer-7 kilometer).
Awan jenis pertengahan pula, terdiri daripada awan altokumulus dan altostratus. Awan altokumulus berwarna putih kelabu dengan satu bahagian awan lebih gelap daripada yang lain. Ia merupakan awan yang terpisah tetapi tersusun rapat di antara satu sama lain. Awan altokumulus biasanya terbentuk dalam kumpulan dan kira-kira 1 kilometer ketebalannya. Lebar awan altokumulus lebih kurang sebesar ibu jari apabila anda menghalakan tangan secara lurus ke awan atau langit. Secara umum, awan altokomulus menggambarkan cuaca yang sederhana baik. Latar belakang langit atau matahari akan jelas kelihatan pada ruang terpisah ini.
Awan altostratus dikenali melalui bentuk lapisan yang merata di langit. Satu awan altostratus biasanya merangkumi seluruh langit dan kelihatan seperti kelabu atau biru kelabu. Matahari atau bulan mungkin bersinar melalui awan altostratus, tetapi akan kelihatan berair atau kabur. Awan altostratus biasanya terbentuk menjelang ribut dengan hujan yang berterusan atau salji. Kadangkala, hujan akan turun dari awan altostratus. Sekiranya hujan sudah menimpa tanah, maka awan itu dikelaskan menjadi sebagai awan nimbostratus.
Kumpulan Awan Paling Tinggi (permukaan 5 kilometer-13 kilometer).
Kumpulan awan tinggi terdiri daripada awan sirus, sirostratus, dan awan sirokumulus yang merupakan awan nipis. Ia terdiri daripada kristal ais kerana udara sejuk di langit atas. Ketiga-tiga jenis awan ini menggambarkan bentuk cuaca yang baik, dimana langit kelihatan biru dan cahaya matahari ataupun bintang jelas kelihatan.
Awan sirus terdiri sepenuhnya daripada ais dan kelihatan panjang dan nipis. Formasi awan ini juga boleh dikenali melalui bentuknya yang berjurai atau lebih dikenali sebagai “ekor kuda” kerana bentuknya. Awan sirus biasanya berwarna putih dan meramalkan cuaca yang baik.
Awan sirokumulus kelihatan seperti kepulan-kepulan bulat kecil yang biasanya muncul dalam baris yang panjang. Sirokumulus biasanya berwarna putih, tetapi kadangkala ia kelihatan kelabu. Awan sirokumulus adalah saiz yang sama atau lebih kecil daripada lebar jari kelingking anda apabila anda menghalakan tangan secara lurus ke awan atau langit. Jika awan ini menutupi banyak langit, ia dipanggil “langit mackerel” kerana langit kelihatan seperti sisik ikan. Sirokumulus biasanya dilihat pada waktu musim sejuk dan menunjukkan cuaca yang baik, tetapi sejuk.
Awan sirostratus adalah awan nipis yang kelihatan seperti lapisan merata atau lembaran kertas yang biasanya meliputi seluruh langit.Matahari atau bulan dapat bersinar melalui awan sirostratus. Kadangkala, fenomena halo akan kelihatan di sekeliling matahari atau bulan apabila keduanya di hadapan awan sirostratus. Kristal ais dari awan membiaskan cahaya dari matahari atau bulan, lalu mencipta halo. Saiz halo ini adalah lebar tangan anda apabila anda menghalakan tangan secara lurus ke awan atau langit. Awan sirostratus biasanya boleh dilihat ketika 12-24 jam sebelum ribut hujan atau salji.
Kumpulan Awan Menegak.
Terdapat dua jenis awan yang tergolong dalam kumpulan awan yang terbentuk secara menegak. Ia adalah awan kumulus dan kumulonimbus. Awan kumulus adalah awan kelabu putih atau terang yang kelihatan seperti bola kapas terapung. Awan kumulus mempunyai garis yang tajam dan tapak yang rata. Awan kumulus secara umumnya mempunyai ketinggian satu kilometer dan lebar yang mencapai satu kilometer. Awan kumulus boleh dikaitkan dengan cuaca baik mahupun yang buruk. Awan kumulus humilis dikaitkan dengan cuaca yang baik. Awan kumulus yang berkembar biasanya dikaitkan dengan cuaca buruk. Puncak awan kumulus kelihatan seperti kobis bunga dan membawa maksud bahawa hujan lebat boleh berlaku. Awan kumulus (awan individu) boleh dikatakan sebesar saiz penubuk anda atau lebih besar apabila anda menghalakan tangan secara lurus ke awan atau langit.
Awan kumulonimbus juga tergolong dalam kumpulan awan menegak. Ia juga dikenali sebagai awan ribut petir. Ia boleh membesar sehingga 10 kilometer. Pada ketinggian ini, angin kencang akan meratakan bahagian atas awan ke dalam seperti bentuk anvil. Awan ini sering dikaitkan dengan hujan lebat, salji, hujan batu, kilat dan puting beliung. Ia bertepatan dengan firman Allah didalam Surah An-Nur ayat 43 yang bermaksud: “Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu kamu melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hamper-hampir menyambar dan meghilangkan pandangan”. (An-Nur: 43)
Kontrails
Kontrails adalah garis putih yang dapat di lihat dari pesawat yang terbang tinggi. Ia adalah awan yang terbentuk apabila wap air termampat dan membeku sekitar zarah-zarah kecil yang ada dalam ekzos pesawat. Wap air tersebut datang dari udara di sekeliling pesawat dan ekzos pesawat.
Beberapa kontrails menyejat dengan cepat sementara yang lain kekal kelihatan di langit untuk masa yang lama selepas pesawat pergi lebih jauh. Kontrails ini boleh menjadi awan sirus buatan manusia. Kontrails bertahan lebih lama apabila terdapat lebih banyak air di udara; ia bertahan sehingga air di awan menyejat.Terdapat tiga jenis kontrails: jangka pendek, berterusan tidak menyebarkan, dan penyebaran berterusan.
Kontrails jangka pendek (short-lived).
Sekiranya udara agak lembab, kontrail akan terbentuk di belakang kapal terbang dan membuat garis putih yang cerah untuk jangka masa yang singkat.
Kontrails kekal-tidak tersebar (persistent non-spreading):
Jika udara sangat lembab, kontrail akan terbentuk di belakang pesawat dan kekal di langit untuk jangka masa yang panjang. Jenis kontrail ini akan kekal di langit dalam tempoh masa yang lama selepas kapal terbang telah diterbangkan. Ia boleh bertahan selama beberapa minit atau lebih lama daripada sehari, dan ia mengekalkan bentuk garis nipis.
Kontrail Penyebaran berterusan (persistent spreading contrails):
Kontrail ini terbentuk apabila berlakunya kontrail yang berterusan. Kadang-kadang contrails sebenarnya akan mengambil ciri-ciri awan sirus semula jadi dan tidak lagi kelihatan seperti kontrails, sehingga mereka menjadi awan buatan manusia.
Secara kesimpulannya, awan merangkumi 50% daripada bumi. Bumi tidak akan ditimpa hujan, kilat, salji mahupun pelangi jika tiada awan dilangit. Atmosfera bumi akan kelihatan kosong sahaja tanpa adanya awan. Adakah anda mengetahui bahawa bukan sahaja bumi yang mempunyai awan, malah planet lain seperti zuhrah, marikh, musytari, neptun, Uranus dan zuhal juga mempunyai awan!
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan”. (Al-Baqarah: 164).