Tokoh Astronomi: Tuan Guru Haji Ibrahim Bin Mohd Dahan
Amira Norsham (Pelajar Latihan Industri, UiTM 2015)
Tuan Guru Haji Ibrahim bin Mohd Dahan dilahirkan pada 1907 di Kampung Sri Lemak, Rembau. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak Nama pada tahun 1916 sehingga 1922 dengan kelulusan darjah 5. Beliau mula mengaji al-Quran di kampung dengan guru Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan mendalami ilmu tajwid dengan Tuan Haji Mahmud bin Haji Mustafa. Tuan Guru Haji Ibrahim mula belajar kitab dan bahasa Arab dengan Tuan Guru Haji Mustafa bin Haji Mohd di surau Pekan Chengkau, Masjid Sri Lemak dan Masjid Pekan Rembau.
Beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Arab al-Hamidiah, Alor Setar, Kedah pada tahun 1925- 1930. Di sini beliau telah belajar ilmu Falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik Sheik Al-Islamiah Syeikh al-Islam Kedah. Pada tahun 1930 pula, beliau menyambung pelajaran melalui cara pondok di Air Hitam, Kedah selama satu setengah tahun.
Tuan Guru Haji Ibrahim kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kota Bharu, Kelantan selama 4 tahun. Di sini beliau telah belajar dengan beberapa orang guru yang terkenal dan mendalami pelajaran ilmu Falak dan beliau juga sempat belajar dengan Tuan Guru Allahyarham Tok Awang Kenali selama beberapa bulan sebelum Tuan Guru Awang Kenali meninggal dunia.
Di akhir tahun 1935, beliau telah pulang ke kampungnya semula. Pada tahun 1936, beliau mula mengajar dan membuka pondok di Kampung Bongek. Selain itu, beliau turut mengajar di Madrasah Pekan Tampin dan beberapa tempat lagi di Johol dan Pulau Sebang. Pada tahun 1946, beliau telah menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dan mengadakan ikhtifal setiap tahun.
Pada tahun 1949, beliau telah berangkat ke Tanah Suci Mekah. Selain menunaikan ibadat haji, beliau mengambil kesempatan untuk belajar kitab Al-Ahzab serta menerima amalan Tariqat Ahmadiah sehingga beliau diijazahkan serta bertauliah pula untuk mengajarkannya. Guru yang mengajar beliau ialah Tuan Guru Shafie Kedah. Selain itu, semasa di Mekah, Tuan Guru Haji Ibrahim sempat juga berguru dengan Tuan Guru Sulaiman Ambon.
Beliau menerangkan mengenai kedudukan salasilah Guru Tariqat Ahmadiah iaitu: Ia dinisbahkan kepada Ahmad Idris atau Sidi Ahmad. Beliau mempunyai murid bernama Ibrahim al-Rashidi dan Ibrahim al-Rashidi pula mempunyai tiga orang murid iaitu: Ismail Nawab (guru kepada Tok Shafie Kedah), yang kedua Muhammad al-Dandarawi (guru kepada Allahyarham Tuan Sheikh Mohd Said) dan yang ketiga Mohd Salleh.
Pada tahun 1962 sehingga 1968, beliau mengajar agama di Sekolah Menengah Undang Rembau. Pada tahun 1969 pula, beliau dilantik untuk memegang jawatan Inspektor Zakat Fitrah Baitullmal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Selain itu, pada tahun 1974,beliau berpeluang sekali lagi untuk mengerjakan Haji ke Makkah dengan kapal terbang dan seterusnya berpeluang mengerjakan Umrah dan ziarah ke negera Mesir, Turki, dan India.
Di samping belajar, mengajar dan berdakwah, Tuan Guru Haji Ibrahim sempat mengarang beberapa risalah buku. Antaranya ialah:
- Kitab Nurul-Aulad, tahun 1989 dikeluarkan dengan kebenaran daripada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan diulang cetak pada tahun 1949, 1952, 1963, 1975 dan 1991.
- Menyusun Taqwim Solat yang boleh digunakan sepanjang masa bagi kawasan Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka dalam tahun 1954.
- Pada tahun 1976. Risalah kecil ini mengandungi Doa,Waktu Solat, dan Arah Qiblat.
- Menerbitkan risalah dan kertas lembaran mengerjakan Haji dan Umrah serta bacaan Khutbah hari Jumaat dan hari Raya Puasa.
Walaupun usia beliau telah mengjangkau 85 tahun, tetapi beliau masih seorang yang gigih. Sebagai penghargaan khidmat dalam masyarakat Islam Negeri Sembilan, khususnya masyarakat Rembau, beliau telah dianugerahkan sebagai tokoh pengkhidmat masyarakat Daerah Rembau pada 16 Oktober 1988 oleh Yang teramat Mulia Dato’ Undang Luak Rembau dan Pentadbir Daerah Rembau.
Tuan Guru Haji Ibrahim telah meninggal dunia pada 3 Ogos 1997.