Tokoh Astronomi: Sheikh Tahir Jalaluddin
Amirul Hazim bin Kamarulzaman (Pelajar Latihan Industri, USIM 2019)
Ilmu falak merupakan antara ilmu yang tertua di dunia. Dikhabarkan bahawa ilmu ini diturunkan kepada nabi Idris a.s kemudian nabi Idris mengembangkannya kepada umatnya. Maka kini, ilmu ini terus berkembang sehingga abad ini. Menelusuri sejarah, di rantau nusantara ini juga berkembang juga ilmu falak apabila muncul beberapa ilmuan falak nusantara seperti Sheikh Ahmad Khatib, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abdullah Fahim dan ramai lagi. Banyak manuskrip berkaitan ilmu falak ditemui di Tanah Melayu dan juga di rantau nusantara ini. Manuskrip-manuskrip ini juga ada tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia.
Gambar Sheikh Tahir Jalaluddin pada usia mudanya.
Artikel ini akan mengupas mengenai seorang tokoh falak nusantara iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin moga Allah merahmati beliau. Nama sebenar beliau adalah Muhamad Tahir bin Sheikh Muhammad. Sheikh Tahir dilahirkan pada hari Selasa, 4 Ramadhan 1286 bersamaan 7 Disember 1869 di Empat Angkat (Ampek Angkek), Bukit Tinggi Sumatera Barat. Ibu bapanya telah meninggal dunia ketika Sheikh Tahir baru berumur 2 tahun lalu beliau dipelihara oleh ibu saudaranya. Menjelang umurnya 11 tahun, Syeikh Tahir telah datang ke Mekah pada tahun 1297H (1880 m) bersama datuk sepupunya Haji Abdul Rahman dan tinggal bersama sepupunya Sheikh Ahmad Khatib.
Dalam latar belakang pendidikan beliau, beliau menuntut pelbagai bidang ilmu selama bertahun-tahun di Mekah dan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir. Antara bidang ilmu yang dikuasai beliau adalah ilmu al-Quran, Nahu, Bayan, Ma’ani, Badi’, Tauhid, Fekah, Usul Fikah, Hadis, Tafsir, Hisab, Hisab Bidasab, Hai-ah, dan ilmu Falak. Penguasaan beliau dalam pelbagai landasan ilmu menjadikan beliau berkemahiran untuk menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan agama Islam. Beliau pernah dilantik menjadi mufti Perak selama 3 tahun selepas menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping. Sheikh Tahir juga pernah dilantik sebagai pemeriksa kiblat bagi negeri Perak oleh Sultan Idris, Sultan Perak.
Halaman depan Kitab Pati Kiraan.
Sheikh Tahir mempunyai keperibadian yang mengagumkan. Beliau seorang yang penyabar dan sentiasa beristiqamah dalam apa jua kerjanya. Meskipun beliau pernah menjadi mufti negeri Perak, fatwanya ada juga ditolak dari Kaum Tua. Namun beliau terus member sumbangan ilmu kepada masyarakat. Dengan kemahiran beliau dalam pelbagai ilmu, Sheikh Tahir memudahkan penyampaian ilmu itu buat masyarakat. Contohnya, tatkala hitungan ilmu falak di zamannya masih menggunakan hisab munajjimin yang mana banyak bergantung pada zodiak, Sheikh Tahir memudahkannya dengan memperkenalkan sifir logaritma.
Keperibadian terpuji Sheikh Tahir juga dapat dilihat dimana beliau amat menghormati guru-gurunya. Beliau memuji dan mendoakan guru-gurunya dalam semua kitab yang dikarangnya. Dalam penyampaian ilmu, Shekh Tahir turut memperkasakan bahasa ibunda dalam penyampaian ilmu. Kitab Pati Kiraan diterjemahkan dari bahasa arab ke bahasa melayu dan editor kitab itu adalah Pendeta Za’aba. Sheikh Tahir juga seorang yang pandai berniaga demi kepentingan ilmu. Keuntungan yang diperoleh daripada pernigaannya digunakan untuk rehlah ilmu dan mencetak kitab.
Gambar Sheikh Tahir Jalaluddin pada lewat usianya.
Sheikh Tahir meninggal dunia pada bulan Oktober 1956 pada usia 87 tahun pada pagi Jumaat selepas subuh. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar, Perak.
Sebagai menghargai jasanya, nama Sheikh Tahir digunakan sebagai nama rasmi pusat falak di Pulau Pinang iaitu Pusat Falak Sheikh Tahir yang terletak di Pantai Acheh, Balik Pulau, Pulau Pinang. Pusat falak ini dibuka secara rasmi pada 30 RabiulAwal 1412 bersamaan 9 Oktober 1991.
Penulis ketika melawat Pusat Falak Sheikh Tahir.